Hasrat Dapat Kerusi Roda Elektrik Tercapai

KUALA NERUS – “Sudah lama saya mengidamkan kerusi roda elektrik itu, akhirnya ditunaikan pihak universiti,” kata Normelisa Mohd Yadi, 22.

Dia adalah penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), antara penuntut Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menerima bantuan kerusi roda elektrik oleh UniSZA, hari ini.

Dia terharu dengan keprihatinan UniSZA menyumbangkan kemudahan itu kepadanya.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerusi roda untuk bergerak dan kerusi roda elektrik itu memang diperlukan sekarang.

“Sebelum ini, UniSZA menyediakan pembantu mahasiswa (rakan siswa) untuk membantu memudahkan pergerakan saya menghadiri kuliah dan menjalani kehidupan di kampus.

“Tetapi, untuk latihan industri yang dijalankan, saya akan berseorangan tanpa rakan siswa untuk membantu dan kemudahan ini akan memudahkan pergerakan saya,” katanya.

Tambahnya, dia akan menjalani latihan industri itu di Arabic Language and Consultancy, Kota Bharu.

“Pergerakan saya akan menjadi lebih lancar dan kurang menggunakan tenaga berbanding ketika menggunakan kerusi roda lama.

“Seperti bermimpi apabila menerima sumbangan kerusi roda elektrik itu, maklumlah ia agak mahal untuk dibeli sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan itu untuk mendapatkan kecemerlangan dalam latihan industri yang akan dijalankan.

Kerusi roda elektrik sumbangan Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA itu disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr Mohd Afandi Salleh.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *