2 Penyeludup Tinggalkan Lori Bersama 38 Kambing Jantan

TUMPAT – Dua lelaki melarikan diri dengan meninggalkan lori dinaiki dalam keadaan enjin masih hidup, sebaik menyedari kenderaan itu diekori pihak berkuasa awal pagi ini.

Pemeriksaan terhadap lori jenis Isuzu yang dirampas di Kampung Jubakar pada jam 4.30 pagi tadi, menemukan 38 ekor kambing jantan seludup dianggarkan bernilai RM38,000.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggotanya melakukan rondaan Op Benteng COVID apabila mengesan sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggotanya segera mengekori lori terbabit dan sebaik menyedari diekori, pemandu kenderaan itu memecut laju dan membelok ke lorong dalam Kampung Jubakar.

“Pemandu lori itu secara tiba-tiba memberhentikan kenderaannya dan kelihatan dua lelaki keluar sebelum melarikan diri dalam keadaan gelap serta meninggalkan lori yang masih hidup.

“Anggota kami cuba mengesan dua lelaki itu tetapi gagal, sebelum pemeriksaan terhadap lori itu membawa muatan 38 kambing jantan dipercayai diseludup dari Thailand dianggarkan bernilai RM38,000,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Norzaid berkata, semua kambing itu diseludup masuk menerusi pangkalan haram sekitar Sungai Golok, dipercayai untuk pasaran sempena sambutan Aidiladha.

Katanya, selepas menunggu hampir 30 minit, tiada sesiapa tampil menuntut kambing dan lori berkenaan, sebelum pihaknya membawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) & 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *