Tema Hari Kebangsaan Masih ‘Malaysia Prihatin’

PUTRAJAYA – Tema Hari Kebangsaan tahun ini kekal seperti tahun lalu iaitu ‘Malaysia Prihatin’ dan ia akan disambut secara sederhana.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, terdapat tiga acara utama setiap tahun iaitu pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia.

Lazimnya, Kempen Kibar Jalur Gemilang bermula pada pertengahan Julai namun disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang menular, ia ditangguh ke minggu pertama Ogos untuk diadakan di Kuala Terengganu dan akan dilancarkan di Putrajaya jika keadaan mengizinkan.

Saifuddin berkata, lokasi cadangan bagi sambutan Hari Kebangsaan buat masa ini adalah di Dataran Pahlawan, Putrajaya manakala Sabah International Convention Centre dicadangkan sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia.

“Banyak perkara masih tidak dapat diputuskan kerana kita menunggu saat akhir dari segi kapasiti, berapa orang boleh diundang dan berapa orang boleh menghadiri.

“Dari segi persiapan, sedang berjalan namun ada pelan A, B dan C bergantung kepada keadaan misalnya pada 31 Ogos nanti, walaupun tempat sudah dipersetujui di Dataran Pahlawan namun adakah program berlangsung 40 minit atau dua jam, itu bergantung kepada keadaan semasa kes Covid-19,” katanya selepas menghadiri libat urus secara maya ‘Program Turun Padang Bersama Telekom Malaysia’ di sini, tadi.

Kredit: Bernama

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *