Stor Dilengkapi CCTV Jadi Transit Rokok Seludup

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga mengesan sebuah stor di tebing Sungai Golok yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) menghala ke Sungai Golok dan laluan darat, dijadikan transit untuk penyimpanan rokok seludup.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, berkata ini berikutan penemuan 78 peti mengandungi 3,900 karton rokok seludup dalam stor di Kampung Pulau Ular itu, yang diserbu pada jam 8.30 pagi semalam.

Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan 14 pegawai dan anggota dalam Op Benteng COVID-19.

“Sebaik tiba di stor haram terbabit, kami cuba memasuki premis itu namun berkunci. Ia bagaimanapun berjaya dibuka oleh anggota yang masuk melalui jalan sungai (Sungai Golok).

“Selepas pintu dibuka, terdapat timbunan kotak rokok yang diletakkan di atas tanah di tepi anak sungai dalam stor berkenaan yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang media di markas PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Norzaid berkata, ketika serbuan, stor itu didapati tidak berpenghuni dan pihaknya percaya ia mungkin disebabkan penyeludup sudah mengetahui pergerakan pihak berkuasa menerusi CCTV yang dikawal daripada telefon bimbit.

Katanya, semua rokok yang berjumlah 780,000 batang itu dianggarkan bernilai RM585,000 termasuk cukai dan dipercayai untuk pasaran Kelantan dan negeri-negeri di Pantai Barat.

“Turut ditemui, dua buku bil resit yang mengandungi maklumat transaksi pembelian serta penjualan rokok seludup.

“Dalam kawasan stor itu juga terdapat dua bot gentian kaca tanpa enjin berikat di tebing anak sungai, enam kereta serta lori, van dan pacuan empat roda masing-masing sebuah yang kami percaya digunakan untuk aktiviti penyeludupan rokok itu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah daripada kereta itu mendapati ia bersamaan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Melor pada 2007 manakala dua lagi kereta mempunyai nombor casis berbeza,” katanya sambil memberitahu pemilik stor itu sudah dikesan dan akan menjalankan tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Norzaid berkata, sepanjang tiga hari Op Benteng COVID-19 (Op Landai/Kontraban) Khas yang bermula 3 Julai lalu, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menghasilkan sebanyak 11 kes mengikut pelbagai akta dengan nilai rampasan RM900,100.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *