TUMPAT – Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli mengagihkan 20 kotak makanan kepada penduduk terjejas akibat penularan COVID-19, sempena Op Bantu, hari ini.
Uniknya, Mohd Razi bersama pegawai dan anggotanya berjalan kaki dari rumah ke rumah termasuk menyusuri laluan kereta api demi untuk agihan kotak makanan kepada penduduk kampung yang terjejas.
Op Bantu itu turut disertai Skuad Aman Wanita (AMANITA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berjalan kaki kira-kira sejauh dua kilometer memasuki kampung.
Mohd Razi berkata, IPD Tumpat menerima 300 kotak untuk diagihkan kepada penduduk di seluruh daerah yang dikenal pasti terjejas.
“Kita mendapat kerjasama penghulu serta penggawa untuk mengenalpasti individu terkesan akibat pandemik COVID-19 sama ada tidak dapat bekerja atau asnaf.
“Hari ini, kami mengagihkan 20 kotak terlebih dulu di dua kampung dan selebihnya akan digerakkan oleh Skuad AMANITA dan ATM serta RELA,” katanya ketika ditemui ketika proses agihan di Kampung Belukar Berangan, hari ini.
Op Bantu dilancarkan semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin adalah untuk memberi bantuan segera kepada individu terputus bekalan makanan di seluruh negara, berikutan pandemik COVID-19.
Pelaksanaannya turut dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, membabitkan hampir 50,000 bakul bantuan makanan dengan semua IPD di seluruh negara dijadikan pusat pengagihan dan penyimpanan bantuan bekalan.
Seorang penerima, Zunaidah Husin, 60, berkata bantuan yang diterima amat diperlukan keluarganya seramai 13 orang untuk kelangsungan hidup.
Katanya, suaminya, Deraman Jusoh, 71, bekerja sebagai tukang rumah sudah lama tidak dapat bekerja kerana selain Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), warga emas itu juga menghidap asma dan tibi.
“Kami kini hanya bergantung kepada anak yang bekerja di kedai makan serta menantu yang melakukan kerja kampung untuk menyara hidup termasuk enam cucu dan dua anak saudara yang yatim piatu.
“Selain bantuan hari ini, sumbangan yang sama sudah kami terima daripada beberapa pihak lain dan kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami 13 beranak tidak berlapar,” katanya.
Kredit: BH Online