Mari Kutip Sayur Percuma

KUALA TERENGGANU – Datang dan petik sendiri pelbagai jenis sayur segar. Itu konsep digunakan sebuah syarikat pembangunan pertanian di Kuala Ibai di sini dalam membantu golongan memerlukan terutama yang terjejas kerana pandemik Covid-19.

Usaha murni GM Peladang memberikan sayur secara percuma itu mampu memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk setempat sejak dilaksanakan sebulan yang lalu.

Penyelia GM Peladang Kuala Ibai, Mohamad Zul Ridzuan Shamsudin berkata, usaha yang dilakukan itu bagi membantu orang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, idea memberikan sayur-sayur secara percuma tercetus daripada program pemberian bantuan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula.

“Kita lihat banyak sumbangan berbentuk barang keperluan asas diberikan bagi membantu mereka yang terjejas, jadi memandangkan kami ada sayur-sayuran, jadi kami berikan ia secara percuma.

“Sebenarnya, pemberian sayur-sayuran secara percuma ini sudah digerakkan sejak sebulan yang lalu namun semakin mendapat sambutan ramai selepas dimuat naik di Facebook minggu lalu.

“Mana-mana penduduk yang memerlukan sayur, mereka boleh datang ke sini dan petik sendiri untuk kegunaan mereka tanpa dikenakan bayaran.

“Ini antara usaha kita untuk bantu mereka yang terjejas dan memang seronok apabila melihat keterujaan penduduk apabila boleh memilih sayur kegemaran dengan sendiri,” katanya.

Mohamad Zul Ridzuan berkata, antara sayur yang boleh dipetik adalah salad, sawi putih dan kailan dengan gred premium yang ditanam melalui kaedah fertigasi dan hidroponik.

“Sebelum ini, kita ada menyumbang bakul makanan kepada golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan pemberian sayur percuma adalah kesinambungan kepada bantuan berkenaan,” katanya.

GM Peladang yang ditubuhkan sejak 2001 adalah syarikat pembangunan pertanian dan pusat latihan bertauliah swasta pertama di Terengganu.

Syarikat terletak di Kuala Ibai itu menghasilkan pelbagai jenis tanaman seperti cili, tomato, timun dan buah melon di tanah seluas 1.2 hektar dan berjaya membimbing ratusan usahawan tani fertigasi di seluruh negara.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *