Dari Mana Datang 7,000 Kes Covid-19?

PETALING JAYA – Selepas gagal mengurangkan kes penularan Covid-19 walaupun hampir dua bulan rakyat sudah terkurung, satu pendekatan menyeluruh perlu dirangka termasuk mengubah mekanisme sedia ada.

Ini termasuk mengkaji semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Darurat (PKPD) yang rata-rata menyifatkan sebagai sia-sia dan `menganiaya’ rakyat sehingga kini yang hidup terdesak.

Peningkatan kes Covid-19 sehingga mencecah 7,654 semalam ketika negara masih dalam tempoh PKP 3.0 dengan Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan PKPD menuntut kerajaan mengubah pendekatan dua tahun lalu menerusi pemetaan lokasi yang mencatatkan peratusan nilai kebolehjangkitan (R-Naught) tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, menerusi kaedah tersebut, kawasan yang dikenal pasti berlaku penularan wabak perlu ditutup dan diberi vaksin serta-merta.

“Jika dilihat tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur menyumbang kes yang tinggi, jadi kerajaan boleh buat pencarian kes aktif di mana-mana kawasan dan dalam masa yang sama buat peta khusus. Sebagai contoh, jika kadar kebolehjangkitan tinggi di kawasan Petaling Jaya, tutup serta-merta.

“Seterusnya, langkah saringan dan vaksinasi dilaksanakan dengan kadar segera. Begitu juga dengan pengasingan bagi mereka yang positif,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 60 peratus kes tempat kerja dicatatkan atau bersamaan 18,065 kes dari 1 Jun hingga 1 Julai pada bulan pertama pelaksanaan PKP 3.0.

Selain peningkatan kes, Malaysia juga dilaporkan berada pada kedudukan ke-51 daripada 53 negara dalam carta ketahanan Covid-19 di seluruh dunia.

Soal menutup segera kawasan yang mencatatkan peratusan penularan tinggi terutama membabitkan varian Delta turut disokong pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Yahya Mat Arip.

Yahya berkata, petugas kesihatan disaran melakukan kajian penjujukan genom (genomic sequencing) untuk mengenal pasti varian yang menyebabkan kenaikan mendadak kes Covid-19.

“Dengan genome sequencing kita boleh mengenal pasti varian walaupun kita tidak tahu bagaimana ia bermutasi. Ini kerana mutasi pada virus Covid-19 berlaku secara rawak. Kita juga boleh tahu di mana mutasi berlaku dan kesan mutasi kepada protein antigen selain mengenal pasti vaksin yang bersesuaian dengan mutasi pada protein antigen,” kata beliau.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadir berkata, peningkatan kes Covid-19 amat mengecewakan kerana rakyat telah lama berkorban dengan berkurung di rumah namun kes Covid-19 tetap tinggi.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan peningkatan kes baharu itu berpunca daripada kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada pengoperasian kilang sejak dari mula PKP 3.0.

“Kesilapan kerajaan adalah sejak dari awal pelaksanaan PKP 3.0 iaitu tidak betul-betul ada ‘total lockdown’. Kilang-kilang masih beroperasi dan mengakibatkan kes Covid-19 terus meningkat setiap hari sehingga mengecewakan rakyat,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George pula berpendapat, ada sesuatu yang tidak kena, kerana apabila kilang-kilang non-essential yang dibuka sebelum ini sudah ditutup tetapi kes jangkitan terus tinggi.

“Masyarakat sudah bijak, mereka juga membuat pemerhatian sendiri. Kalau tiada lagi kilang non-essential dibuka, jadi dari mana kes-kes yang banyak di Selangor ini?

“Kita juga terima aduan ada pesakit Covid-19 yang datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor. Bagaimana mereka ini boleh datang? Sepatutnya mereka ini disuruh duduk di rumah dan tunggu ambulans datang,” katanya.

Namun pakar perubatan ke­sihatan awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, peningkatan kes berpunca daripada ujian saringan agresif yang dilakukan dalam tempoh dua minggu lalu manakala pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur terlalu baru untuk dinilai keberkesanannya.

Ditanya punca peningkatan kes, beliau berpendapat, ia mungkin membabitkan kalangan pekerja dan kes tersebut mungkin tidak akan turun jika pelaksanaan kerja dari rumah tidak diuruskan dengan betul bagi mengelakkan kluster tempat kerja.

Pakar kesihatan komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh pula berkata, kes komuniti sudah terlalu banyak dikesan semasa PKP 3.0 dan kini sedang merebak.

“Pertambahan kes kluster disebabkan ada punca dari kes tempat kerja, kilang, pembinaan, pembuatan dan warga asing. PKP banyak ‘mengurung’ rakyat sahaja, essential work masih berjalan dengan kapasiti 60 peratus masih tinggi. Sekarang patut diturunkan 30 peratus sahaja,” kata beliau.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *