Agong Kurnia Jalur Gemilang Kontinjen Olimpik, Paralimpik Tokyo 2020

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mewakili kontinjen negara ke dua temasya sukan di Tokyo.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata, pengurniaan itu sebagai tanda simbolik penerimaan kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Majlis pengurniaan berlangsung ketika baginda berkenan menerima menghadap Reezal Merican di Istana Negara.

Turut hadir dalam majlis menghadap adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.

Pada sesi ini juga, baginda turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara di kedua-dua temasya berkenaan.

“Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kegigihan dan kecekalan serta kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Baginda menzahirkan harapan agar atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia.

“Selain itu, Baginda menzahirkan harapan agar atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua-dua temasya itu.

“Baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga atlet negara mencapai sasaran yang ditetapkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” kata kenyataan itu.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos hingga 5 September.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *