7 Beranak Hilang Tempat Tinggal Rumah Terbakar Dipanah Petir

MARANG – Tujuh beranak termasuk bayi berusia 11 hari hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di Kampung Simpang Rawai, Bukit Payung, di sini, musnah dalam kebakaran, dipercayai akibat dipanah petir.

Kejadian jam 6.30 petang itu menyebabkan keluarga terbabit mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila pelbagai barangan termasuk wang tunai sebanyak RM5,000 dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM30,000, hangus.

Mangsa, Ahmad Khairul Hafizi Kamaruddin, 27, berkata ketika kejadian dia bersama isteri, anak, ibu mentua dan ipar sedang berada di ruang tamu rumah.

“Saya dan isteri sedang dodoikan bayi berusia 11 hari sambil menonton televisyen bersama ibu mentua dan ipar. Kami dikejutkan dengan guruh kuat menyebabkan bekalan elektrik rumah kami terputus.

“Tidak lama kemudian kami terdengar jiran menjerit memberitahu tingkat atas rumah terbakar sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri.

“Ketika itu hujan sangat lebat dan saya bersama ipar hanya sempat mengalihkan kenderaan dan mengeluarkan beberapa barangan seperti mesin basuh dan gas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bonba dan Penyelamat Wakaf Tapai, PPgB Khairul Azmi Ismail, berkata empat jentera bomba dari BBP Wakaf Tapai, Marang dan Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 23 anggota termasuk bantuan daripada pasukan Sukarelawan Bomba Seri Payung, sebaik menerima panggilan jam 6.40 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak membakar tingkat atas bahagian rumah berkenaan dan kerja pemadaman dilakukan dalam keadaan hujan dan ribut,” katanya.

Katanya, siasatan awal kebakaran dikatakan berpunca disebabkan petir.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *