7.2 Tan Ayam Sejuk Beku Dari Thailand Dirampas

TUMPAT – Sebanyak 7.2 tan ayam sejuk beku yang dipercayai diseludup masuk daripada Thailand dirampas di sini, awal pagi tadi.

Rampasan itu dilakukan terhadap sebuah lori yang ditahan di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, pada 2.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, lori dinaiki dua lelaki berusia 30 dan 24 tahun itu ditahan ketika melalui jalan di Kampung Kubang Batang.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan menemukan sejumlah kotak yang mengandungi 7,200 kilogram ayam beku dianggarkan bernilai RM72,000,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, pemandu mengemukakan beberapa dokumen, namun ia meragukan dan mereka ditahan.

Menurutnya lagi, ayam beku itu dipercayai diambil daripada Thailand menerusi pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk dibawa ke Kuala Terengganu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *