50 Rumah Rosak Akibat Ribut

KUALA TERENGGANU – Lebih 50 rumah di Perumahan Padang Setengge, Hulu Terengganu, rosak dalam kejadian ribut dan hujan lebat, petang semalam.

Bumbung beberapa rumah di kawasan perumahan itu turut diterbangkan angin kencang, kira-kira jam 6 petang itu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Terengganu, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak, berkata ribut berkenaan turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang sehingga menghalang laluan utama ke jalan besar di kawasan berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 6.40 petang.

“Kita tidak pasti jumlah sebenar rumah yang terbabit tetapi dianggarkan 50 rumah rosak akibat ribut ini.

“Pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sedang melakukan tinjauan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan awal, pihaknya mungkin akan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) sama ada di surau atau sekolah bagi menempatkan semua mangsa.

Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *