Tidak Pernah Berenggang, Dua Beradik Divaksin Bersama

KUALA NERUS – Sejak kecil, Zalillah Muda, 85, tidak pernah berenggang dengan adiknya, Aminah, 80, dan walaupun kedua-duanya sudah berkeluarga tetapi keakraban mereka tetap utuh hingga kini.

Sama ada ke kenduri kahwin, menziarahi keluarga mahu pun mengundi dalam pilihan raya umum (PRU), kesemuanya dilakukan warga emas dari Kampung Balai Maras, Mengabang Telipot itu dengan insan tersayangnya.

Hari ini, Zalillah dan Aminah yang berkerusi roda sekali lagi bersama-sama bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Zalillah yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik berkata, sebelum ini mereka pernah berjanji untuk menghadiri janji temu suntikan bersama dan sentiasa berdoa agar nama mereka tidak terpisah dalam senarai pihak Kementerian Kesihatan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat menerima suntikan dengan adik tersayang sebab sudah berjanji untuk pergi bersama.

“Aminah adalah anak yang kedua dan sejak kecil lagi kami memang rapat serta, malah sekarang pun kami tinggal bersama selepas suami masing-masing meninggal dunia,” katanya kepada pemberita.

Dua beradik warga emas itu tiba di PPV Unisza dengan ditemani anak Zalillah, Zadil Hayat kira-kira pukul 10 pagi ini.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *