“Takkan Kita Nak Suntik Vaksin Banyak Kali?” – Khairy

SEPANG – Kesepakatan perlu ada dalam menentukan dasar imigresen susulan kepelbagaian penggunaan vaksin Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata, ia perlu bagi mengelakkan kekeliruan apabila timbul isu pengiktirafan vaksin tertentu di negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata, setakat ini, semua pihak termasuk Malaysia yang menggunakan pelbagai keluaran vaksin, masih belum mengetahui dasar imigresen sebahagian besar daripada negara di dunia kerana ia belum dimuktamadkan.

“Ada negara yang dah keluarkan syarat, contohnya syarat vaksin yang hanya diguna di negara itu. Jadi, ini adalah atau proses perbincangan yang masih berterusan dengan negara lain.

“Yang paling saya rasa strategik untuk Malaysia ialah Arab Saudi, Singapura, UK, AS, China… Ini adalah destinasi yang paling popular untuk rakyat Malaysia sama ada untuk bercuti atau perniagaan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, tadi.

Justeru, beliau berkata, perlu ada satu dasar yang dipersetujui semua berikutan selain Malaysia, ada negara lain yang juga menggunakan pelbagai keluaran vaksin dalam program imunisasi untuk rakyat masing-masing.

Khairy sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia iaitu apa-apa vaksin yang disenaraikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu diiktiraf.

Katanya, sebagai alternatif, jika sesebuah negara tidak mengiktiraf sesetengah vaksin, ia perlu mempertimbangkan mengenakan ujian saringan dan kuarantin terhadap pengembara yang sudah divaksinasi.

“Kalau dia tak iktiraf vaksin yang diguna kita, macam mana takkan kita nak suntik banyak kali?” katanya.

Sebelum ini, ini portal Code Blue melaporkan, rakyat negara ini yang menerima vaksin AstraZeneca-Oxford berkemungkinan dihalang memasuki negara Eropah berikutan sijil digital COVID-19 dikeluarkan EU hanya mengiktiraf dos vaksin yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Ia berikutan, EMA tidak mengiktiraf vaksin AstraZeneca-Oxford yang dikilangkan di Korea Selatan, Jepun dan Thailand.

Pada masa sama, AS sebelum ini berikrar untuk memberi 60 juta vaksin AstraZeneca-Oxford yang belum mendapat kelulusan penggunaan di negara itu.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *