PPVIN Akan Diperluas Ke Lapangan Terbang Seluruh Negara

PUTRAJAYA – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan memperluas pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi sektor pengangkutan udara, ke lapangan terbang lain di seluruh negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata ini kerana sektor pengangkutan udara masih beroperasi walaupun berlaku pengurangan penerbangan.

Setakat ini, beliau berkata, pihaknya telah meluluskan pengoperasian PPVIN untuk sektor pengangkutan udara membabitkan pemberian vaksin terhadap 22,243 petugas barisan hadapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula semalam.

“Ini sektor penting yang masih beroperasi ketika kawalan pergerakan. Walaupun ada pengurangan penerbangan di lapangan terbang di Malaysia, sektor ini terus beroperasi.

“Untuk melindungi kakitangan terbabit, CITF membuat keputusan untuk mengutamakan sektor pengangkutan udara dalam PICK bawah industri perlu.

“Saya juga akan memberi perhatian kepada sektor pengangkutan udara dan lapangan terbang di negeri lain supaya pekerjanya turut dilindungi dengan vaksin,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat PPVIN di KLIA yang berupaya memberi suntikan vaksin sehingga mencecah 1,000 petugas sehari.

Seterusnya, Khairy Jamaluddin memaklumkan setakat minggu pertama bulan ini, CITF sudah meluluskan pembukaan 27 PPVIN di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya telah menerima cadangan pembukaan tambahan PPVIN daripada kementerian lain.

Ketika ini, katanya, kementerian terbabit pemberian vaksin kepada sektor ekonomi ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pengangkutan.

“Bagaimanapun, kita dimaklumkan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga bersedia untuk membabitkan industri mereka.

“Justeru, kita akan membuat keputusan dalam masa terdekat untuk sektor itu, termasuk jumlah (vaksin) diagihkan kepada mereka,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *