PETALING JAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas selama lima hari pada 26 Julai ini sebagai penipuan kerana memendekkan tempoh persidangan.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, sidang Parlimen bertujuan memastikan pentadbiran kerajaan mengikut peraturan supaya tiada salah guna kuasa dan mengenal pasti wujudnya proses semak dan imbang.
Sebaliknya, kata beliau, tiada petunjuk bahawa akan ada perbahasan terbuka dalam persidangan itu kelak.
“Tetapi apa yang cuba dilakukan, saya rasa satu bentuk penipuan kerana memendekkan sidang, menyegerakan kelulusan beberapa undang-undang ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tiada petunjuk bahawa akan ada perbahasan yang terbuka.
“Oleh itu, saya ingin memberi peringatan kepada Perdana Menteri dan kerajaan dalam keadaan kamu terumbang-ambing ini, jangan peralatkan Speaker Dewan Rakyat dan dia juga harus diberi peringatan.
“Hal ini kerana kita tidak akan pandang ringan Covid-19, soal kebajikan rakyat, soal peruntukan dan salah guna kuasa. Ini bukan soal ringan,” katanya dalam video di Facebook beliau hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan berlangsung tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos depan.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan sidang Parlimen diadakan secara hibrid.
Pada masa sama, Anwar memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak menggunakan kuasa sesuka hati tanpa berpandukan penekanan prinsip asas demokrasi berparlimen.
Presiden PKR itu menegaskan sidang Parlimen merupakan platform bagi menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan keabsahan sesebuah pentadbiran kerajaan.
Kredit: Utusan Online