PDRM Diarah Buka Siasatan Kenyataan Kontroversi Kit Siang

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah membuka siasatan berhubung kenyataan kontroversi dimuat naik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membabitkan isu berkaitan Allah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kenyataan Kit Siang itu dilihat berunsur hasutan dan cuba memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Selain itu, katanya, siasatan perlu diperluas kepada mana-mana individu dikenal pasti melakukan tindakan sama hingga menggugat keharmonian di negara ini.

“Ini nampak kalau betul dia (Kit Siang) lakukan, apa masalah beliau dengan Allah? Walaupun dia tak kenal Allah, saya nak maklumkan, Allah adalah tuhan umat Islam.

“Saya mintalah kepada sesiapa pun, kalaulah Kit Siang lakukan sesuatu dan ditularkan ramai netizen, saya minta supaya PDRM siasat dan ambil tindakan.

“Kalau pun lain, bukan hanya Kit Siang tetapi mereka yang ada dalam negara, tolong bantu kita waktu ini untuk tidak pecah belahkan sesiapa,” katanya pada sidang media Op Bantu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Kit Siang yang juga veteran DAP, baru-baru ini, memuat naik kenyataan berbahasa Inggeris di laman Facebooknya yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *