MAIK Turun Padang Bantu Keluarga Tinggal Di Teratak Buluh

BACHOK – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersetuju untuk membina sebuah rumah empat bilik kepada keluarga Siti Aminah Mamat dan Abdul Aziz Mohamed.

Keluarga itu sebelum ini mendiami teratak buluh dan hidup dalam kesulitan di Kampung Lubuk Temusu di Bachok sejak lebih tiga tahun lalu.

Setiausaha MAIK, Mohd Rasani Ramli berkata, pihaknya turun padang selepas kisah keluarga itu dipaparkan di Astro AWANI.

“Kita terima maklumat dan membuat semakan. Jadi berdasarkan semakain, tiada rekod tetapi kita pernah salurkan bantuan pada 2017.

“Jadi bertitik tolak semalam, kita serahkan bantuan, berdasarkan pemerhatian sepatutnya boleh diluluskan sebuah rumah di bawah MAIK dan kita peruntukkan 16 buah rumah untuk jajahan ini, kita akan pertimbangkan secepat mungkin,” katanya.

Menurut Rasani, proses dokumentasi, pengesahan hak milik tanah dan urusan berkaitan akan dimulakan segera.

Selepas proses berkenaan selesai, pihaknya akan terus membina rumah agihan zakat untuk tujuh beranak itu dengan kadar segera di tapak bangsal buluh yang mereka diami.

MAIK turut menyampaikan sumbangan wang zakat dan barangan keperluan kepada keluarga berkenaan.
Selain itu, turut menyumbang wang tunai dan alas tidur, wakil dari Renai Hotel dan Pertubuhan Kerabat Al Muhammadi.

Sebelum ini, Astro AWANI memaparkan kisah tujuh beranak berkenaan mendiami bangsal berdindingkan buluh dan guni dengan tandas di luar bertabirkan kain buruk.

Keluarga ini pernah dua kali memohon rumah PPRT, namun gagal.

Selain pasangan suami isteri itu, bangsal berkenaan turut didiami anak anaknya berusia dari 13 sehingga 20 tahun termasuk seorang cucu berusia dua tahun.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.

Menurut beliau, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 billion.

Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Kredit: Astro AWANI

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *