Kata Azimat ‘Anda Akan Sembuh’ Beri Kekuatan

KUALA TERENGGANU – Keikhlasan doktor dan jururawat yang menjaganya sepanjang 16 hari menerima rawatan akibat COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini meninggalkan kesan mendalam buat Syahril Hirman Azmee, 42.

Meskipun tiada pertalian darah dan tidak mengenali antara satu sama lain, layanan diberi doktor dan jururawat di hospital itu sangat baik dan mesra.

“Layanan, kata-kata semangat dan keyakinan yang diberi bahawa saya akan sembuh adalah ‘azimat’ yang menguatkan saya melawan sakit COVID-19 sepanjang 16 hari di hospital termasuk tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Syahril Hirman yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Pusat Pengurusan Makmal Berpusat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disahkan positif pada 17 Mei lepas setelah mengalami simptom sesak nafas, selera makan berkurangan dan demam dan disahkan kontak rapat rakan sekerjanya yang juga positif COVID-19 sebelum ini.

Beliau berkata tempoh paling kritikal dan mendebarkan baginya adalah ketika mahu ‘ditidurkan’ disebabkan sebahagian paru-paru telah dijangkiti virus dengan peluang untuk hidup hanyalah 50-50 sahaja.

“Saya diberi peluang membuat panggilan bersama ibu sebelum ‘ditidurkan’ dan ibu pesan agar saya melafaz kalimah syahadah, ingat Allah dan banyak zikir.

“Namun, doktor dengan tenang menyakinkan saya akan sembuh seperti biasa kerana tidak merokok, tidak ada sejarah penyakit dan menjalani gaya hidup yang sihat dan aktif selama ini. Kata-kata itu sangat membantu saya menguatkan emosi sebelum proses intubasi dilakukan,” katanya.

Selepas sedar, Syahril Hirman dipindahkan ke wad biasa apabila paru-parunya menunjukkan perkembangan positif dan doktor menyifatkan dirinya sebagai antara pesakit COVID-19 tahap empat yang bertuah dan dibenarkan keluar pada 1 Jun lepas.

Beliau berkata kesan terhadap kesihatannya tetap ada kerana cepat berasa penat terutamanya ketika naik tangga dan tidak boleh berjoging pantas seperti sebelum ini.

Kredit: Bernama

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *