PASIR PUTEH – Harga mahal mencecah RM1,000 sekilogram susulan permintaan tinggi di Vietnam, mendorong lima nelayan warga negara itu menceroboh perairan negeri ini untuk menangguk gamat.
Namun, kegiatan nelayan asing berusia 25 hingga 38 tahun itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan sebelum ditahan dalam Op Naga Barat dan Op Damai di sini, petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata nelayan asing berkenaan ditahan jam 6.10 petang pada jarak 42.7 batu nautika daripada muara Tok Bali.
Katanya, ketika operasi dilakukan, pihaknya menyedari sebuah bot nelayan asing sedang menangguk gamat di perairan Kelantan.
“Maritim Malaysia terpaksa mengejar bot berkenaan dan keadaan agak mencabar apabila nelayan berkenaan bertindak agresif.
“Namun, anggota kami berjaya menahan mereka sebelum mengambil masa selama 10 jam untuk menunda bot yang digunakan mereka ke jeti di Tok Bali.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui 200 kilogram gamat dan 2,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan RM300,000 termasuk bot yang dirampas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, kesemua mereka juga gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah, selain dokumen kebenaran menangkap hasil laut di perairan negara ini.
“Siasatan mendapati, permintaan serta harga gamat yang tinggi di negara berkenaan menyebabkan mereka semakin aktif menceroboh perairan negara untuk mendapatkan hidupan laut berkenaan.
“Di Vietnam, harga untuk sekilogram gamat adalah RM1,000, berbanding di sini sekitar RM60 bagi gamat basah, manakala gamat kering harga lebih tinggi iaitu RM500 sekilogram.
“Kita akan memperketatkan kawalan supaya nelayan asing tidak menceroboh perairan negara,” katanya yang kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.
Dalam perkembangan lain, Muhd Nur Syam Asmawie, berkata sejak Januari sehingga kini, pihaknya merampas 17 buah bot termasuk empat bot milik nelayan tempatan.
Katanya, rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan RM13 juta meliputi bot dan hasil rampasan seperti rokok, minyak, ikan serta gamat.
Kredit: BH Online