12 Jam Berniaga, Jualan RM30

KEMAMAN – Dengan pendapatan RM30 sehari ketika ini, dua beradik yang mengusahakan perniagaan trak makanan di Hentian Rawat dan Rehat Kijal, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini bimbang tidak lagi mampu bertahan.

Masakan tidak, pendapatan tersebut tidak mencukupi untuk kedua-dua mereka menyara seorang bapa dan lima adik-beradik lagi.

Lebih memeritkan, tiga daripada adik-beradik masih bersekolah.

Arina Rozali, 31, dan adiknya, Adibah, 26, dari Kampung Pasir Gajah terpaksa melalui situasi perit itu berbulan-bulan selepas pendapatan merosot akibat larangan rentas daerah dan negeri.

Katanya, sebelum ini pendapatan merekanmencecah RM500 sehari, namun merosot berikutan jumlah pengguna LPT2 yang kurang.

“Sepanjang 12 jam berniaga dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, pelanggan kurang daripada 10 orang dan hendak mendapatkan RM50 susah, belum lagi ditolak dengan kos modal dan purata pendapatan harian kini sekitar RM30 sehari.

“Ayah sudah tujuh tahun menjual di sini dan kami tidak mahu perniagaannya berkubur begitu sahaja, jadi sebab itu masih teruskan walaupun menanggung rugi,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Arina, antara makanan yang dijual mereka termasuk sosej, pelbagai jenis bebola goreng, nuget, keropok lekor dan popia di samping minuman dengan harga antara RM1 ke RM2.

Katanya, jumlah pelanggan yang berkurangan menyebabkan kebanyakan pengusaha trak makanan di hentian sebelah Kijal memilih untuk tidak berniaga hingga menjadikan mereka satu-satunya yang masih beroperasi di situ.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *