Suami Isteri Agih Sarapan Percuma

KUANTAN – “Pernah sebelum ini ada seorang makcik datang ke kedai makan saya dan minta untuk membeli nasi dengan harga RM2 tetapi kedai kami hanya menjual ‘steamboat’. Kerana simpati, saya pergi membeli nasi ke kedai lain untuk diberikan kepada makcik itu,”.

Itu kata- kata Mohd Hafizi CM Hatta, 33, menceritakan semula kejadian yang mencetus semangatnya untuk membuat kerja amal dengan mengagihkan sarapan percuma kepada orang ramai.

Mohd Hafizi bersama isterinya, Nor Syakila Azimi, 35, dari Indera Mahkota di sini, mengagihkan 300 hingga 600 pek sarapan percuma di sekitar bandar ini sejak seminggu lalu.

Mohd Hafizi berkata, pada mulanya mereka mengeluarkan modal sendiri kira-kira RM500 untuk menyediakan menu nasi ayam cincang dan nasi lemak daun pisang untuk diagihkan.

“Alhamdulillah usaha kami ini mendapat perhatian rakan-rakan yang turut menghulurkan sumbangan kewangan untuk kami meneruskan inisiatif ini,” katanya selepas mengagihkan sarapan percuma di kawasan perkampungan Sungai Isap, dekat sini, hari ini.

Mohd Hafizi berkata, mereka perlu mula memasak sekitar pukul 1 pagi bagi memastikan setiap menu yang disediakan dapat diagihkan kepada penerima bermula pukul 8.30 pagi.

Katanya, antara kawasan yang sudah diagihkan pek sarapan pagi percuma itu ialah di perkampungan Bukit Setongkol, perkampungan Sungai Isap, Permatang Badak, Kampung Jawa, Kampung Tiram dan Kampung Tengah.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *