PM Pengerusikan Sidang Khas MKN Hari Ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara, hari ini.

Dalam sidang khas secara maya itu, turut dibincangkan ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang sedang berkuatkuasa di beberapa mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur.

Perbincangan turut membabitkan laporan pemantauan setiap negeri di dalam fasa pemulihan negara.

“Alhamdulillah, selain lima buah negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat.

“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan dari badan amal, parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan disampaikan kerajaan.

“Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah SWT,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *