PdPR Di Lima Negeri Fasa Kedua Kekal

PETALING JAYA – Pelajar kelas peperiksaan di lima negeri yang telah beralih kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan terus menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Lima negeri yang terlibat pe­ralihan ke Fasa Kedua PPN ialah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan akhbar berkata, proses PdPR tersebut diteruskan sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai 2021 bagi Kumpulan B.

KPM berkata, pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dija­dualkan pada 25 Julai bagi ne­geri Kumpulan A dan 26 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B pula akan diumumkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” kata kenyataan itu semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan ke Fasa Kedua PPN bagi negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa Kedua PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

MKN juga memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka.

“Bagaimanapun KPM ingin memaklumkan Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 kekal seperti diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr. Radzi Jidin) dalam sidang media pada 6 Jun lalu,” kata KPM.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *