Lubuk Paku ‘sepi’ ditelan zaman

MARAN – Kampung Lubuk Paku di pinggir Sungai Pahang pada era 1950-an hingga 1970-an adalah sebuah pelabuhan darat penting sebagai pusat perdagangan dan hentian untuk ke daerah lain di negeri ini.

Lubuk Paku merupakan pekan kecil di daerah dan negeri ini yang menjadi tumpuan pedagang tempatan dan luar kerana terdapat pekan sehari seusia dengan pekan sehari Kuala Semantan, Temerloh dekat sini.

Dahulu, di kampung itu terdapat terdapat Istana Hinggap Kesultanan Pahang, Rumah Rehat Inggeris dan balai polis bersejarah Lubuk Paku.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk jati Kampung Lubuk Paku, Wahab Mohamad, 85, berkata, dalam era berkenaan, kampung tersebut menjadi tumpuan penduduk dan pedagang mendapatkan barangan keperluan harian.

Menurutnya, pada masa itu perhubungan utama ialah melalui Sungai Pahang menggunakan bot berenjin dan menggunakan perahu jalur ke destinasi.

“Penduduk dari kampung berhampiran seperti Mentenang, Temiang, Serengkam, Kuala wau, Pejing, Chenor, Pesagi, Papai, Salong, Sungai Duri dan lain-lain kawasan datang ke sini.

“Lubuk Paku bukan sahaja pusat perdagangan dan perniagaan tetapi juga pusat kebudayaan persembahan silat, gendang, hencang buah keras, muzik tradisional dan tingkah lesung,” katanya di sini semalam.

Wahab berkata, lokasi Lubuk Paku juga menjadi pusat hentian motor bot penambang kepada penumpang untuk ke Ulu Sungai seperti Temerloh, Chenor, Pulau Tawar atau Kuala Tembeling.

Seorang lagi penduduk, Limah Mohamad, 88, mengakui cukup sedih melihat nasib Lubuk Paku yang dahulunya meriah tetapi kini ‘sepi’ ditelan zaman.

Menurutnya, dalam 1950-an hingga awal 1970-an, Lubuk Paku menjadi lokasi wajib Sultan Pahang keempat, Sultan Sir Abu Bakar berjumpa rakyat.

Ujarnya, di situ terdapat Istana Hinggap tempat bersemayam Sultan untuk bersama rakyat menjalankan aktiviti seperti pesta menuba ikan di Sungai Pahang.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd. Sofian Abd. Jalil berkata, Kampung Lubuk Paku ketinggalan dari segi pembangunan kerana lokasinya berada agak jauh daripada jalan utama Kuantan-Temerloh.

Bagaimanapun ujarnya, kampung itu berpotensi dibangunkan semula jika sebuah jambatan baharu dibina merentas Sungai Pahang dari Lubuk Paku ke Kampung Kuala Wau seberang sungai.

Menurutnya, cadangan pembinaan Jambatan Lubuk Paku telah pun disuarakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tahun lalu.

“Jambatan Lubuk Paku akan menghubungkan kampung-kampung di Seberang Sungai Pahang dengan Bandar Maran dan laluan terdekat untuk ke Pekan dan ke Bera,” katanya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *