Jenayah Rentas Sempadan Meningkat

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) mendapati berlaku peningkatan jenayah rentas sempadan apabila menggagalkan 464 kes membabitkan nilai rampasan lebih RM33.2 juta dalam masa enam bulan bermula Januari sehingga Jun lalu.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, pihaknya turut menahan 398 lelaki dan 60 perempuan selain merampas 316 pelbagai jenis kenderaan bagi membantu siasatan.

Katanya, terdapat 64 kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang disifatkan nilai rampasan tertinggi dengan nilai RM13.7 juta setakat ini.

“Bagi tempoh sama pada tahun lalu, Briged Tenggara PGA menghasilkan 266 kes dengan 252 tangkapan di mana nilai keseluruhan adalah RM10.2 juta sekali gus menunjukkan keberkesanan dalam membanteras jenayah rentas sempadan pada tahun ini lebih baik.

“Terdapat peningkatan ketara (jenayah rentas sempadan) hasil daripada perkongsian maklumat risikan dan operasi bersama agensi penguat kuasa sempadan lain, selain tidak menafikan keberkesanan penggunaan dron semasa operasi dijalankan.

“Bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan, PGA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkolaborasi menerusi ‘pilot project’ dengan mengawal sempadan secara bersama,” katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok, di sini, hari ini

Hasan turut berkongsi kejayaan Batalion 7 PGA (PGA7) apabila merampas 348 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM3,480 di pangkalan haram Pok Ngoh, Kuala Jambu di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.

“Dalam kejadian 11.30 malam itu, anggota terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dari perahu ke kereta, namun suspek bertindak melarikan diri sebaik menyedari dihampiri.

“Hasil siasatan terdapat ayam sejuk beku disyaki dibawa dari negara jiran untuk pasaran tempatan. Kesemua barangan itu dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *