DUNGUN – Keseronokan 15 lelaki bertaruh judi ikan laga terbantut selepas pondok yang menjadi port mereka melakukan aktiviti itu diserbu polis di Felda Kerteh 3, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, kira-kira 12.35 tengah hari.
Menurutnya, serbuan itu dibuat hasil maklumat awam dan ketika serbuan, kesemua berusia 20 hingga 56 tahun gagal melarikan diri.
“Polis merampas 31 botol kaca berisi seekor ikan laga di dalam setiap botol dan wang tunai sebanyak RM960 dipercayai duit taruhan. Hasil siasatan juga mendapati 11 daripada suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah.
“Kesemua lelaki berkenaan masing-masing turut dikompaun RM1,500 mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam sidang media di IPD Dungun, hari ini.
Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Kredit: myMetro Online