Dasar 4IR Negara Pastikan Malaysia Tidak Ketinggalan

KUALA LUMPUR – Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (Dasar 4IR Negara) yang dilancarkan Khamis lalu menjadi satu dasar penting untuk dilaksanakan dalam usaha menyelaraskan semua inisiatif kerajaan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekosistem digitalisasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Dasar 4IR Negara itu akan memberi faedah kepada rakyat, sektor perniagaan dan kerajaan.

Beliau berkata, fokus kerajaan juga bagi meningkatkan kesedaran pentingnya rakyat menerima guna teknologi seiring perkembangan semasa yang turut berlaku di seluruh dunia.

“Kita tidak banyak mencipta teknologi seperti negara maju iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah. Jadi, kita berharap mempunyai lebih ramai rakyat Malaysia mampu mencipta dan mewujudkan teknologi menerusi Dasar 4IR Negara,” katanya dalam temu bual dalam program Malaysia Hari Ini diterbitkan TV3.

Mustapa berkata, kerajaan juga dapat menggabungkan segala usaha dan bertindak menerusi kaedah yang diselaras mengikut Dasar 4IR Negara.

“Kita juga ingin memastikan pada 2050, kerajaan dapat mendigitalkan perkhidmatan kerajaan dan memahirkan setiap penjawat awam dalam bidang ini mengikut Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya.

Dasar 4IR Negara bertujuan mempertingkatkan keupayaan Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

Ia digubal berpaksikan kemanusiaan supaya teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya, selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 9 (WKB 2030) untuk mencapai kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan.

Empat teras utama menyokong dasar ini iaitu melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR; membentuk negara mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepat inovasi serta penerimagunaan teknologi 4IR.

Dasar ini akan menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju kementerian serta agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber, selain penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi pesat membangun yang akan memberi manfaat kepada rakyat, sektor swasta dan awam.

Ia juga menyokong dasar pembangunan negara seperti WKB 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital.

Kredit: Bernama

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *