60 Kotak Rokok Seludup Bernilai RM120,000 Dirampas

KUALA TERENGGANU – Polis merampas 60 kotak mengandungi ribuan karton rokok dipercayai diseludup dianggarkan bernilai RM120,000 selepas menahan dua lelaki di Kampung Kubang Parit, di sini, semalam.

Dalam operasi 4.30 pagi, anggota polis menahan dua suspek berusia 20-an yang menaiki kereta berasingan dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan cegah jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui beberapa rangkai kunci dipercayai ada kaitan dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, sebuah daripada kenderaan terbabit didapati sudah diubahsuai dengan membuang kerusi bahagian penumpang belakang.

“Hasil soal siasat terhadap dua suspek juga, polis membuat serbuan di dua premis di Kampung Tok Jembal dan Taman Desa Jaya, Kuala Nerus.

“Dalam serbuan itu, kita merampas lebih kurang 60 kotak mengandungi ribuan karton rokok dipercayai diseludup dengan nilai keseluruhan berjumlah RM120,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *