Sejuta Dos Vaksin Sumbangan AS Diterima Esok

PUTRAJAYA – Malaysia akan menerima satu juta dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer, esok yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bagi Kerajaan Malaysia, beliau mengulangi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada rakan sejawatnya, Antony Blinken serta Kerajaan Amerika Syarikat atas sumbangan vaksin berkenaan.

Katanya, sumbangan vaksin itu mampu membantu meningkatkan proses vaksinasi serta membawa perkembangan bermakna terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan Malaysia.

“Selain vaksin, Amerika Syarikat melalui kedutaannya di Kuala Lumpur turut menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada Malaysia sejak pandemik melanda tahun lalu.

“Ini termasuk kelengkapan perubatan, pakaian pelindung diri (PPE) dan alatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan nilai sebanyak AS$250,000 (RM1.04 juta).

“Malaysia amat menghargai sokongan Amerika Syarikat setakat ini dan berharap hubungan yang erat serta mesra antara kedua-dua negara akan terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, seperti yang sudah disampaikan menerusi suratnya kepada Antony Blinken pada 4 Jun lalu, Malaysia menyambut baik pengumuman Presiden Joe Biden mengenai sokongan untuk mengetepikan secara sementara perlindungan Harta Intelek atau Intellectual Property (IP) bagi vaksin COVID-19.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi ucapannya di Persidangan Antarabangsa Nikkei pada Mei lalu, turut mengumumkan sokongan Malaysia untuk mengetepikan IP bagi vaksin COVID-19.

“Dalam usaha memastikan akses global yang adil terhadap vaksin COVID-19, Malaysia sedia menjalinkan kerjasama menyeluruh dengan Amerika Syarikat dalam penyelidikan, pengembangan, serta pengedaran vaksin,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *