KOTA BHARU – Sudah biasa berlapar, duit yang ada sanggup didahulukan untuk membayar sewa rumah kerana bimbang diusir. Dengan bayaran antara RM10 hingga RM15 sehari yang diterima oleh anaknya yang bekerja sebagai pelukis batik, Mek Jah Abdullah, 70, berkata upah itu diambil secara mingguan dan diasingkan bagi mencukupkan RM100 untuk sewa rumah.
Mek Jah berkata, dia dan anaknya, Ibrahim Husin, 33, sudah biasa berlapar kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan dan ketika kunjungan wartawan ke rumahnya di Kampung Badang, Jalan PCB, baru-baru ini, mereka kehabisan gas memasak.
“Sudah banyak hari gas habis dan anak masuk ke hutan mencari kayu api untuk memasak menggunakan dapur kayu kerana kami kehabisan wang.
“Makanan pun tiada kecuali beras sahaja kerana upah yang diterima anak minggu lalu kami simpan untuk bayar rumah sewa nanti tetapi jika perlu, kami gunakan sikit untuk beli lauk.
“Sudah banyak kali juga kami diugut akan dihalau kerana kerap tertunggak sewa rumah dan disebabkan itu kami sanggup menahan lapar daripada tiada tempat tinggal,” katanya.
Mek Jah berkata, mereka rela berdiam diri dengan berlapar daripada mengemis meminta bantuan kerana segan jika ada yang menuduh mereka meminta-minta.
Dia yang berasal dari Narathiwat, Thailand mempunyai empat anak namun dua daripada mereka sudah meninggal dunia manakala dua lagi termasuk Ibrahim tidak memiliki dokumen pengenalan diri walaupun dilahirkan di sini dan arwah bapa mereka juga warga tempatan.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang diwakili Mohd Faris Sheikh Ahmad Dusuki yang tampil menyerahkan barang makanan dan kewangan hasil sumbangan pihaknya serta beberapa penyumbang lain.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dia sempat belajar sehingga Darjah Empat manakala abangnya pula berhenti sekolah ketika memasuki alam sekolah menengah di sebuah sekolah agama, di sini.
“Bukan saya tidak mahu memiliki kad pengenalan kerana tahu ia memang penting tetapi tidak tahu kepada siapa ingin bertanya dan di mana saluran perlu dituju.
“Memikirkan mungkin tiada keperluan untuk saya memiliki kad pengenalan, hasrat itu terus dipendamkan walau sesekali berasa bimbang jika ditahan pihak berkuasa dan menganggap saya warga asing,” katanya.
Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Ibrahim di talian 017-9539530.
Kredit: BH Online