Peralihan Fasa Kedua PPN Bukan Tiket Untuk Bebas

TUMPAT – Peralihan Kelantan ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok, bukan tiket rakyat untuk bergerak bebas.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata rakyat sebaliknya perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar peralihan itu dapat membawa impak positif, seterusnya beralih ke satu lagi fasa.

“Peralihan ke fasa kedua ini bukan tiket untuk rakyat bergerak bebas kerana perubahan tidak banyak berlaku dan kita harap dapat ke fasa ketiga secepat mungkin.

“Kita mengharapkan agar rakyat dapat terus patuhi SOP dan beri sokongan penuh kepada usaha yang sedang dilakukan sekarang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menziarahi penduduk di Kampung Kutan Tengah di sini sempena Program Prihatin Masyarakat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.

Kelantan adalah antara lima negeri yang mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus dan memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua PPN.

Ahmad berkata, kerajaan negeri kini sedang melakukan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 melalui usaha ketua jajahan, Pusat Khidmat DUN dan penghulu.

Menurutnya, usaha itu akan dipergiatkan lagi sebaik bekalan vaksin seterusnya tiba pada masa yang ditetapkan nanti.

“Insya-Allah minggu depan bekalan vaksin seterusnya akan tiba dan kita harapkan Kelantan akan dapat ke fasa ketiga secepat mungkin,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *