Lebih 8.8 Juta Dos Vaksin Covid-19 Sudah Diagih

KUALA LUMPUR – Lebih 8.8 juta dos vaksin sudah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dengan kira-kira 2.5 juta individu menerima suntikan lengkap vaksin setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebanyak 217,807 dos vaksin diberikan di seluruh negara semalam, menjadikan jumlah pemberian vaksin Covid-19 mencecah 8,800,700 dos.

Jumlah itu dicapai dalam tempoh kira-kira empat bulan sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu hingga semalam.

Selain itu, jumlah berkenaan menyaksikan kapasiti pemberian vaksin harian kekal melebihi 200,000 dos untuk lima hari berturut-turut sejak 29 Jun lalu.

“Jumlah individu yang menerima dos pertama ialah 6,261,014 orang, yang bersamaan 19.1 peratus populasi negara.

“Selain itu, seramai 2,539,686 orang pula sudah menerima dos kedua, yang merangkumi 7.8 peratus pooulasi Malaysia,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham menunjukkan Kuala Lumpur mencatatkan pemberian dos tertinggi berbanding jumlah populasi keseluruhan wilayah itu.

Lebih 1.12 juta atau 63.4 peratus penduduk Kuala Lumpur sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam, atau bersamaan 83.3 peratus penduduk dewasa di wilayah itu.

Selain itu, seramai 42,727 individu atau 63.1 peratus populasi dewasa di Putrajaya sudah menerima dos pertama, disusuli Sarawak (1.18 juta/57.7 peratus), Labuan (36,065/52.6 peratus), Perlis (68,965/38.1 peratus) dan Negeri Sembilan (200,396/24.6 peratus).

Putrajaya pula mencatat jumlah penerima dos lengkap vaksin COVID-19 tertinggi dengan 28,352 individu atau 41.9 peratus penduduk dewasa di wilayah itu.

Ia disusuli Labuan (17,115/25 peratus), Perlis (42,589/23.5 peratus), Kuala Lumpur (232,170/17.2 peratus), Sarawak (278,528/13.6 peratus) dan Negeri Sembilan (103,094/12.7 peratus).

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *