Kompaun RM5,000 ‘Upah’ Bosan Duduk Rumah

KUALA TERENGGANU – Alasan bosan duduk rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah kepada dua lelaki apabila masing-masing dikenakan kompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata dua lelaki terbabit masing-masing berusia 32 tahun dari Kampung Chendor Sempadan dan Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang dikenakan kompaun kerana cuba masuk ke negeri ini tanpa surat kebenaran, semalam.

Beliau berkata, mereka dikesan cuba merentas negeri ketika melalui sekatan jalan raya di sempadan Kemaman-Kuantan di Kampung Mak Lagam, di sini, jam 2 petang.

“Kompaun RM5,000 dikeluarkan atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 2021,” katanya.

Dalam kes berasingan, pihaknya mengeluarkan kompaun RM2,000 terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0.

Katanya, lelaki dari Rumah Murah Kampung Bukit Kuang, di sini, dikenakan denda itu kerana membawa penumpang melebihi kapasiti ditetapkan.

“Lelaki terbabit ditahan ketika melalui sekatan jalan raya Sekolah Pusat, di sini, jam 3.30 petang (semalam).

“Kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *