Rumah Sewa RM50 Sebulan Hampir Menyembah Bumi

TUMPAT – Sejak lima tahun lalu mereka menghuni rumah yang sangat daif dengan sebahagiannya hampir menyembah bumi.

Rumah yang didiami Siti Meriam Muhamad@Ahmad, 30 dan suaminya, Mohd Khairi Mohd Mohamadiah, 33, bersama empat anak yang berusia sembilan bulan hingga 12 tahun di Kampung Geting, Pengkalan Kubor disewa dengan kadar RM50 sebulan.

Siti Meriam berkata, kekangan kewangan menyebabkan mereka sekeluarga terus mendiami rumah yang sering basah setiap kali hujan dan banyak lantai sudah reput itu.

“Untuk mencari rumah sewa lain agak mustahil kerana kami tidak mampu membayar sewa rumah yang rata-ratanya RM200 ke atas.

“Suami hanya bekerja kampung dan dia melakukan pelbagai pekerjaan, semata-mata untuk menyara kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Siti Meriam berkata, suaminya pernah bekerja sebagai tukang rumah tetapi kini kerja itu semakin tiada menyebabkan dia beralih mengambil upah mengangkut buah dengan bayaran sebanyak RM50 untuk satu lori sejak dua bulan lalu namun, diberhentikan sejak sekatan pergerakan penuh awal Jun lalu.

Katanya, untuk kelangsungan hidup suaminya melakukan kerja seperti mengambil upah memanjat pokok kelapa, membersihkan halaman rumah orang dan menawarkan khidmat mengangkat barang menggunakan motosikal roda tiga.

“Upah yang diperoleh hanya cukup untuk makan kami berenam tanpa dapat disimpan kerana semua pekerjaan itu bukan setiap hari dilakukan, sebaliknya bergantung kepada permintaan,” katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, diwakili Che Norhayati Mohamed yang tampil bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan zakat serta barang dapur.

Siti Meriam berkata, ada individu menyumbangkan mesin pemotong rumput untuk suaminya dan ada pihak lain yang mencari rumah sewa baharu buat mereka dan sudah membayar sewa sebanyak RM350 untuk beberapa bulan.

“Suami ada memiliki tanah pusaka yang tidak berapa luas di Kampung Pauh Sebanjar tidak jauh dari sini dan kami berharap, ada mana-mana pihak dapat membantu kami mendirikan rumah sendiri walaupun sempit asalkan kami sudah tidak menyewa,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *