RMKe-12 Rangka Strategi Tangani Isu Kemiskinan Orang Asli

JELI – Pembangunan masyarakat Orang Asli yang lebih berkesan akan diberikan tumpuan khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ini berikutan insiden kemiskinan dalam kalangan lebih 200,000 Orang Asli di seluruh negara adalah kira-kira 34 peratus sebelum dilanda pandemik COVID-19.

Berikutan itu, katanya, satu pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang menyeluruh akan dirangka untuk mengurangkan kemiskinan etnik berkenaan.

“Pelan ini juga bagi memantapkan akses kepada pendidikan serta menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan asas lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika hadir dalam Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan di Dewan Serbaguna Sungai Rual, di sini, hari ini.

Mustapa berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan pertama ‘Poverty Circle’ atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan yang dihadiri 25 wakil dan dipengerusikannya, baru-baru ini.

Katanya, pangkalan data berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial akan disepadukan melalui pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) yang sedang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perangkaan (DOSM).

“Pangkalan data ini akan menyatukan data berkaitan penerima bantuan e-Kasih, bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua bantuan termasuk daripada pihak berkuasa negeri.

“Pembangunan PDPS ini akan membolehkan rujukan tunggal bagi bantuan sosial dan menangani kemiskinan, seterusnya mengelakkan pertindihan data serta memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata untuk masyarakat Orang Asli di daerah itu, pihaknya menggunakan dua kaedah bagi mengeluarkan etnik berkenaan daripada garis kemiskinan iaitu bantuan melalui bakul makanan yang disalurkan menerusi JKM.

Strategi kedua adalah menyediakan platform untuk masyarakat Orang Asli dengan membesarkan projek berdaya maju bagi menjana pendapatan mereka.

“Bagi masyarakat di Jeli, kami sudah menyediakan penternakan kambing serta ikan keli dan yang terbaru, penanaman cendawan serta mengecop batik,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *