Pelajar Cemerlang STPM 2020 Dijadikan Anak Angkat

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin menjadikan Nur Maisara Abdul Malik sebagai anak angkat dalam usaha memastikan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 itu berupaya menyambung pengajian di universiti.

Shahiruddin berkata, keputusan itu bagi memastikan Nur Maisara mencapai impian dan cita-cita meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Beliau mengakui sebak apabila dimaklumkan bahawa Nur Maisara tidak bercadang menyambung pengajian kerana ingin bekerja untuk membantu keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.

“Oleh itu saya berjanji untuk membantu Nur Maisara menyambung pelajaran dan tidak henti memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Saya turut memberi jaminan kerajaan Pahang melalui kepemimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan sentiasa prihatin dan membela nasib rakyat di negeri ini.

“Atas sebab itu saya menjadikan Nur Maisara sebagai anak angkat saya kerana kegigihannya.

“Komputer riba yang diberikan adalah hadiah untuk memberi motivasi supaya terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Shahiruddin menyampaikan komputer riba kepada Nur Maisara apabila memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam STPM 2020 yang diumum, kelmarin.

Kelmarin, akhbar melaporkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di Raub, Pahang itu antara pelajar cemerlang STPM kategori sekolah luar bandar.

Di sebalik kegembiraan itu, terselit impian untuk menyambung pengajian di menara gading tetapi terpaksa ditunda buat seketika.

Nur Maisara berkata, dia sememangnya berhasrat melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang pendidikan, namun masalah kewangan menyebabkan impian itu terpaksa ditunda buat sementara.

Sebaliknya, dia membuat keputusan untuk bekerja dahulu bagi membantu meringankan beban keluarga kerana bapanya bekerja sebagai tukang rumah, ibunya suri rumah manakala dua adiknya masih bersekolah.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *