Parlimen Hulu Terengganu Aktifkan Talian 24 Jam

KUALA BERANG – Pejabat Parlimen Hulu Terengganu mengaktifkan talian telefon semua pegawainya 24 jam bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan bakul makanan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata penduduk tidak perlu ke pejabat, sebaliknya hanya perlu menghubungi pegawai termasuk penyelaras Dewan Undangan negeri (DUN) untuk mendapatkan bantuan bakul makanan.

Katanya, makanan keperluan juga dihantar ke 95 masjid di seluruh daerah bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan makanan.

“Kita tidak hadkan kepada golongan tertentu, sebaliknya mereka yang berada bawah B40 dan M40 juga layak mendapatkan bantuan bakul makanan.

“Kita juga permudahkan penyaluran bantuan, penduduk yang terkesan tidak perlu mengisi borang tertentu, sebaliknya terus menghubungi pegawai Parlimen dan penyelaras DUN,” katanya.

Rosol berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk miskin di Kampung Merbau Pulas, di sini, hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata penghantaran bekalan makanan keperluan asas bernilai RM1,000 sudah dihantar ke 92 masjid di daerah Hulu Terengganu.

Katanya, jawatankuasa masjid sudah diminta terus menghubungi pegawai di Pejabat Parlimen jika bekalan kehabisan.

“Semua pegawai di Pejabat Parlimen dan pegawai penyelaras DUN sudah diminta mengaktifkan talian 24 jam bagi memudahkan penduduk tanpa mengira fahaman politik mendapatkan bakul makanan,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *