KOTA BHARU – Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat reput di dalam kebun buah-buahan di Kampung Chekar, Wakaf Linchong dekat Pasir Puteh, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, mayat berkenaan ditemui penduduk kampung berusia 50-an kira-kira 6.30 petang.
Katanya, ketika lelaki itu dalam perjalanan pulang, dia terhidu bau busuk sebelum menemui cebisan mayat yang sudah reput dan berkecai.
“Dipercayai mayat itu adalah seorang lelaki berdasarkan cebisan pakaian yang kita temui di lokasi kejadian.
“Mengikut kepada keadaan mayat, kita jangka mangsa meninggal dunia sejak seminggu lalu.
“Namun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu keputusan bedah siasat yang akan dijalankan di Hospital Machang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana individu berhubung kehilangan ahli keluarga.
Beliau menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan satu mayat reput dan berkecai yang belum diketahui jantina dijumpai oleh penduduk kampung berhampiran kebun di Pasir Puteh, di sini.
Berdasarkan laporan, penduduk terhidu bau busuk ketika melalui jalan ke kebun di lokasi itu sebelum bertindak mencari punca bau itu lalu terjumpa mayat berkenaan.
Kredit: myMetro Online