Lagi Kawasan Dikenakan PKPD

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Desaria Seremban, Negeri Sembilan; tiga lokaliti di Kuala Muda, Kedah, Taman Zifa, Bingkul, Beaufort dan Kampung Simpangan, Kota Marudu, Sabah serta Kampung Bukit Tanah, Mukim Barat Jawa, Pasir Puteh, Kelantan mulai 5 hingga 18 Julai depan.

Turut dikenakan PKPD adalah Mukim Kuala Kuantan 2, Pahang berkuat kuasa 4 hingga 17 Julai depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil pemantauan KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat dan setakat ini, sebanyak 242 kes positif direkodkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di Taman Desaria, Seremban.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di situ.

“Pelaksanaan PKPD itu bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar daripada lokaliti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti dalam daerah Kuala Muda, Kedah yang dikenakan PKPD adalah Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK).

Katanya, langkah itu berikutan peningkatan kes dalam tempoh singkat membabitkan 78 kes dilaporkan di Taman Bandar Baru; 17 kes di Taman Lembah Permai dan 219 kes di Kawasan Perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK).

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan ujian secara bersasar sekali gus menyekat penularan kes ke luar lokaliti ini,” katanya.

Katanya, PKPD Mukim Kuala Kuantan 2, Kuantan, Pahang pula dilaksanakan kerana berlakunya peningkatan kes yang ketara dalam tempoh 14 hari di Mukim Kuala Kuantan apabila 774 kes positif direkodkan daripada 6,472 yang disaring.

Sementara itu, PKPD Taman Zifa, Bingkul, Beaufort, Sabah pula susulan 21 kes positif Covid-19 daripada 50 penduduk menjalani ujian saringan dengan kadar positiviti 42 peratus.

“PKPD Kampung Simpangan, Kota Marudu, Sabah dilaksanakan selepas KKM menjalankan 64 ujian saringan dan mengesah 10 daripada penduduk positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“PKPD Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan pula dilaksanakan selepas mendapati 70 daripada 134 penduduk positif dengan kadar positiviti 52.2 peratus,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *