Dron Gagalkan Cubaan Seludup Petrol

TUMPAT – Pemantauan melalui udara menggunakan dron berjaya mengesan cubaan menyeludup petrol ke negara jiran di tebing Sungai Golok dekat Pangkalan Haram Tualang, Kampung Simpangan, di sini, semalam.

Kejadian disedari sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lalu bergegas ke lokasi untuk tindakan.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sebaik tiba di lokasi pada 10.30 pagi, anggotanya mendapati sekumpulan lelaki sedang memunggah beberapa tong dari tebing Sungai Golok ke dalam sebuah perahu.

“Sebaik dihampiri, mereka melarikan diri dengan menaiki perahu ke arah negara jiran (Thailand), namun seorang individu berjaya ditahan.

“Lelaki berusia 60 itu berada berhampiran Proton Wira dan pemeriksaan dalam kereta itu menjumpai dua tong berisi petrol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menemui sebuah lagi Proton Saga di mana di dalamnya terdapat empat tong berisi petrol.

Menurutnya, pihaknya juga menemui pam penyedut dan alat penimbang, malah tangki minyak kenderaan itu didapati sudah diubahsuai bagi aktiviti penyeludupan petrol.

“Jumlah rampasan petrol adalah 240 liter dan nilai keseluruhan rampasan termasuk dua kenderaan adalah RM12,492.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *