Wanita Maut Pulang Dari Tempat Kerja

BACHOK – Seorang pembantu perawatan kesihatan wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mahligai – Kota Bharu di sini pada Khamis.

Kejadian berlaku pada jam 4.30 petang dan mangsa maut dikenali sebagai, Yah Rosmi Mohd Noor, 57 yang pemandu kereta jenis Perodua Kancil.

Seorang lagi mangsa iaitu pemandu kenderaan jenis Honda Jazz yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Saipul ‘Azlan Daud, 52 hanya mengalami luka kecil pada bahagian rusuk sebelah kanan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari tempat kerja di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian mahu pulang ke rumahnya di Jerteh, Terengganu manakala Saipul ‘Azlan pula dalam perjalanan dari rumahnya di Pasir Puteh mahu ke tempat kerja di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lundang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil dipandu mangsa dari arah Kota Baharu itu dipercayai secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan yang mengakibatkan pertembungan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohammad Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke HUSM Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, anak mangsa maut, Anis Nabilah Hilmi, 31, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, ibunya tinggal di Jertih, Terengganu dan berulang-alik setiap hari ke tempat kerja di HUSM, Kubang Kerian.

Katanya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi bapanya, Hilmi Awang, 59.

“Semalam, dia (ibu) baik-baik sahaja dan tidak menunjukkan apa-apa perubahan pelik,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *