Polis Terima 49 Laporan Hina Pemangku Raja Pahang

KUANTAN – Polis Pahang menerima 49 laporan daripada individu dan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan menghina Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di media sosial.

Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua laporan itu diterima di balai polis sekitar Pahang dan satu laporan diterima di Melaka.

“Semua laporan ini disiasat Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman memandangkan kes terbabit membabitkan (siasatan) pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Jadi kita tunggulah hasil siasatan itu kelak dan saya ingin ingatkan kepada semua pihak, terutamanya golongan remaja, supaya lebih berhati-hati ketika melayari media sosial kerana kita semua tertakluk kepada peraturan atau undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Ramli siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Antara pihak yang tampil membuat laporan polis ialah Majlis Belia Malaysia (MPM) Pahang bersama Majlis Belia Daerah Kuantan, Young Malaysia Movement dan Gerakan Belia 4B negeri pada Selasa lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Laporan itu dibuat selepas tular dalam media sosial tangkap layar dari akaun Twitter yang memuat naik gambar Tengku Hassanal diubah suai hingga menimbulkan kemarahan pelayar internet.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *