Malaysia Tidak Alami Cuaca Panas Seperti Kanada, AS

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) tidak menjangkakan suhu luar biasa panas seperti dialami di Kanada dan Amerika Syarikat (AS) akan berlaku di negara ini, tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, berkata negara kini berada pada fasa Monsun Barat Daya dan dijangkakan mengalami suhu lebih rendah daripada biasa bulan ini berikutan cuaca lebih lembap dan hujan lebih banyak berbanding biasa.

Keadaan ini katanya, berlaku disebabkan peralihan daripada fasa La Nina kepada fasa ENSO Neutral dan taburan hujan dijangka kembali normal mulai Ogos.

“Kanada dan barat laut AS sedang mengalami cuaca panas dan gelombang haba dengan catatan rekod 47.9 darjah Celsius hingga 46.6 darjah Celsius disebabkan sistem tekanan udara tinggi bergerak sangat perlahan di kawasan tersebut akibat daripada keragaman iklim.

“Bagaimanapun, rakyat di negara ini tidak perlu risau kerana Malaysia tidak terjejas dengan fenomena cuaca panas ini dan kini negara berada pada pertengahan fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada September.

“Jabatan juga tidak menjangkakan kejadian jerebu rentas sempadan yang serius dalam tempoh terdekat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan talian hotline MET Malaysia untuk maklumat lanjut.

Kredit: Bernama

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *