KUALA TERENGGANU – Jumlah kes baharu Covid-19 di negeri ini meningkat berganda kepada 50 kes semalam berikutan kegagalan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus, kenaikan itu disumbangkan Kluster Kubang Jela dengan kes indeks dilaporkan menjangkiti enam ahli keluarga lain hingga menyebabkan seramai 45 orang dikesan positif wabak berkenaan.
Malah katanya, penularan Covid-19 turut menjangkiti enam jemaah surau, jiran-jiran dan rakan taulan akibat sikap segelintir individu yang tidak mematuhi SOP hingga kesannya terpalit kepada seluruh penduduk Kampung Kubang Jela.
“Lima rakan bermain sepak takraw di samping dua rakan berbasikal pun turut terkena jangkitan, persoalannya bila masa mereka bermain pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini?
“Saringan bersasar sudah dilaksanakan di Kampung Kubang Jela membabitkan seramai 988 penduduk dan daripada jumlah itu hanya 88 disahkan negatif manakala baki 900 lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Nor Azimi berkata, bagi kes positif di Dungun dan Kemaman pula membabitkan kontak rapat dalam kluster di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan, Pahang termasuk peraih-peraih ikan.
Terengganu mencatatkan penurunan kes harian Covid-19 kepada dua digit dalam tempoh dua minggu dengan Rabu lalu sebanyak 20 kes sahaja dilaporkan.
Kredit: Utusan Online