Kawasan PKPD Sekitar Kuala Lumpur Akan Dipasang Kawat Duri

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti sekitar Kuala Lumpur, menggunakan kaedah sama seperti PKPD sebelum ini.

Berbeza dengan penugasan kawalan PKPD di Selangor, yang akan menumpukan penugasan sekatan jalan raya (SJR), penguatkuasaan di kawasan PKPD sekitar KL akan menggunakan pemasangan kawat duri dan penghadang jalan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya memohon kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu memasang pagar kawat duri di 14 kawasan yang dikenakan PKPD.

“Ini kerana kawasan yang dikenakan PKPD di dalam Kuala Lumpur ini adalah kecil berbanding di Selangor yang mempunyai kawasan kawalan yang besar di tempat yang dilaksanakan PKPD, bermula tengah malam ini.

“Sekiranya barb wire (kawat duri) tidak mencukupi, kami akan mengawasi sesebuah lokaliti berkenaan menggunakan penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Azmi berkata, pihaknya juga menempatkan pegawai dan anggota di lokasi tertentu bagi memantau sebarang pergerakan tanpa kebenaran oleh penduduk di lokaliti yang dikenakan PKPD.

“Untuk pelaksanaan SJR di sekitar Kuala Lumpur adalah kekal sama seperti sebelum ini iaitu melalui kaedah SJR kekal dan SJR bergerak di tempat yang dirasakan perlu,” katanya.

Lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD adalah membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flet Seksyen 2 Wangsa Maju, Flet Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2), Flet Sri Sabah, Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flet Desa Pandan (termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinci, Bandar Baru Sentul dan Jalan Ikan Emas.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *