Derita Suami, Dugaan Isteri

TANAH MERAH – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah dugaan dialami seorang suri rumah apabila suami yang menjadi tulang belakang menyara keluarga kini terlantar akibat kanser usus tahap empat sejak dua bulan lalu.

Lebih menyedihkan, Siti Nur Atikah Ismail, 29, yang sarat mengandung lapan bulan hilang punca pencarian dan dalam masa sama perlu menguruskan empat anaknya yang masih kecil berusia antara dua hingga lapan tahun.

Katanya, pada awal April lalu, suaminya, Raimee Ramli, 38, yang bekerja sebagai buruh binaan mengadu sakit di bahagian perut dan dia kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut.

“Selepas rawatan dan ujian yang dilakukan termasuk mengambil sampel di bahagian perut, doktor mengesahkan suami saya menghidap penyakit kanser usus tahap empat dan selama sebulan kami ‘berkampung’ di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Suami mula menjalani rawatan kimoterapi di HRPZII pada Mei lalu dan doktor memasang saluran tiub pada hidung untuk memberinya minum susu enam kali sehari setiap empat jam sekali yang kini menjadi makanan hariannya.

“Setiap bulan saya perlu memperuntukkan lebih RM1,000 untuk membeli keperluan suami termasuk lampin pakai buang dan susu formula berharga RM78 setin yang mampu bertahan untuk lima hari sahaja.

“Selain memikirkan kos rawatan suami dan keperluan anak-anak, saya juga perlu membayar rumah PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia) RM200 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manal 1.

Siti Nur Atikah berkata, ada individu menawarkan diri untuk mengambil anak yang bakal lahir sebagai anak angkat.

“Saya beritahu sesukar mana sekalipun kehidupan yang terpaksa dilalui, saya tidak akan sesekali berpisah dengan anak-anak dan hanya Allah SWT yang tahu betapa luluhnya hati ini setiap kali ada yang memberitahu mahu mengambil anak-anak,” katanya.

Katanya, sejak menjalani rawatan kimoterapi, suami tidak lagi berdaya untuk bangun selain rambutnya juga gugur serta sikapnya yang dulu seorang periang kini bertukar menjadi pendiam.

“Setiap kali terpandang wajahnya, hati ini sering berbisik supaya terus kuat untuk suami serta anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian.

“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kami sekeluarga hanya mengharapkan simpati saudara mara dan ada ketikanya badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan asas dan wang bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Nur Atikah di talian 014-7935086.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *