KUALA KRAI – Lelaki cuba menyogok wang tunai RM5,000 kepada seorang anggota polis apabila kenderaannya ditahan untuk pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) berhadapan Balai Polis Laloh, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 6.15 pagi itu, anggota polis berkenaan yang curiga dengan perbuatan suspek menolak tawaran terbabit lalu melakukan pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan ke atas dua lori dipandu dua lelaki berusia 29 dan 54 tahun berkenaan kemudian menemukan 455 peti rokok dengan jumlah keseluruhan 227,500 kotak rokok dianggarkan bernilai RM1.1 juta.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, anggota polis terbabit memiliki integriti tinggi apabila tidak menerima wang rasuah berkenaan.
Katanya, kedua-dua suspek dari arah Gua Musang ke Kuala Krai dipercayai datang dari selatan untuk menghantar bekalan rokok tanpa cukai kastam ke Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Tumpat.
“Pemerikasaan lanjut ke atas dua lori itu juga mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dalam masa sama, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,515 serta tiga telefon bimbit.
“Modus operandi yang digunakan adalah menggunakan lori membawa barangan runcit dan mereka juga mempunyai kebenaran pergerakan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dalam sidang media di IPD Kuala Krai, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad.
Abdullah berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
“Mereka direman selama empat hari bermula semalam sehingga 4 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Kredit: myMetro Online