Calon STPM Peroleh PNGK 4.0 Dapat Insentif KETENGAH

KUALA TERENGGANU – Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 di negeri ini akan menerima insentif RM1,000.

Insentif itu diberikan sebagai persediaan dan meringankan beban calon yang ditawarkan melanjutkan pengajian di universiti awam (UA).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Razali Idris, berkata Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah diminta mengemukakan nama calon STPM yang memperoleh keputusan PNGK 4.0, untuk tindakan seterusnya.

“Kita bersetuju memberi insentif khas itu bagi meringankan bebanan ahli keluarga calon sebagai persiapan, terutama menyediakan keperluan sebelum memasuki UA.

“Kita dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan negeri, seramai 55 calon STPM di negeri ini memperoleh keputusan PNGK 4.0,” katanya pada media selepas menyerahkan sumbangan kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Bilik Mesyuarat Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), di sini, semalam.

Majlis penyerahan cek bernilai RM314,000 itu diserahkan kepada Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani.

Seramai 341 pelajar yang memperoleh keputusan semua A SPM 2020 diumumkan 10 Jun lalu memperoleh insentif RM1,000 seorang.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata, KETENGAH turut menyumbangkan 900 tablet kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, 70 peratus tablet itu akan diberikan kepada pelajar yang tinggal di wilayah KETENGAH.

“Setiap pelajar yang menerima tablet akan menerima wang tunai RM50 bagi memudahkan mereka membeli sim kad yang bersesuaian dengan capaian rangkaian telekomunikasi di kawasan masing-masing.

“Pemberian tablet dan wang tunai membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM351,000 itu adalah usaha KETENGAH untuk memastikan pelajar tidak keciciran dalam pendidikan,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *