Cadang Beri Kelonggaran Negeri Kurang Kes Covid-19

SUBANG JAYA – Kerajaan akan membuat kajian data berhubung kes Covid-19 seluruh negara, bagi mempertimbangkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) fasa pertama kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), di negeri yang akan ditentukan kelak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ia diumumkan.

Beliau berkata, langkah itu bagi memberi sedikit kebebasan dan kelegaan kepada penduduk di negeri rendah kes Covid-19, susulan purata kes nasional datangnya dari Selangor, tetapi pada masa sama penduduk di negeri lain turut rasa terhimpit dengan masalah berkenaan.

“Data kes Covid-19 itu akan diteliti dan dari situ, kami dapat menunjukkan negeri mana yang boleh dicadangkan untuk diberi kelonggaran.

“Keputusan mengenainya dijangka diumumkan esok (hari ini),” katanya selepas menyertai Op Patuh di Taman Perindustrian Subang, di Subang Jaya, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalannya, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Op Patuh bersepadu peringkat nasional ini diadakan bermula jam 7 pagi membabitkan penyertaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta PGU polis.

OP Patuh bermula hari ini lebih memberi fokus secara bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP di kilang dan premis perniagaan yang beroperasi, termasuk penyalahgunaan surat kelulusan dikeluarkan kementerian, jabatan atau agensi.

Sementara itu, Hamzah berkata, menerusi Op Patuh itu, ada syarikat industri melanggar SOP kerana beroperasi walaupun bukan dalam kalangan perkhidmatan perlu.

Beliau berkata, siasatan mendapati syarikat yang menjalankan kerja kejuruteraan itu juga membenarkan kehadiran pekerja seramai 350 orang yang majoritinya warga asing.

Katanya, syarikat itu turut memaklumkan pada Mac dan April lalu, 400 pekerja warga asing disahkan positif Covid-19 dan wabak ini boleh menjangkiti lebih ramai masyarakat jika mereka keluar dan mengunjungi pusat beli-belah tumpuan ramai.

“Dari segi dokumentasi pekerja, memang mereka patuh, namun syarikat tidak memahami arahan kerajaan untuk menurunkan angka positif bagi menyesuaikan dengan negeri lain yang lebih rendah jumlahnya.

“Kita perlukan kerjasama semua majikan untuk menurunkan angka ini dan diharap mereka patuh kepada arahan dikeluarkan,” katanya.

Hamzah berkata, data perincian operasi itu akan diterima malam ini dan mengumumkan mengenainya esok.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *