57.61 Peratus Guru Tingkatan 5, 6 Di Terengganu Divaksin

KUALA TERENGGANU – Seramai 2,056 atau 57.61 peratus guru Tingkatan Enam dan Lima di negeri ini sudah menerima vaksin COVID-19.

Penerima membabitkan 1,589 guru Tingkatan Lima dan baki guru Tingkatan Enam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani, berkata ia sebagai persediaan awal pembukaan sekolah yang akan diumumkan nanti.

Beliau berkata, 1,533 lagi guru masih menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Jumlah keseluruhan guru Tingkatan Lima di negeri ini adalah seramai 2,882, manakala 687 adalah guru Tingkatan Enam.

“Kita memberi jaminan semua guru akan mendapat suntikan sebelum pembukaan sekolah,” katanya ketika ditemui selepas menerima insentif khas untuk 314 pelajar yang mendapat keputusan semua A, pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di pejabat Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), di sini, hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan insentif khas berjumlah RM314,000 disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Razali Idris.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Mohd Zaid Sulaiman dan Timbalan Pengurus Besar Ketengah (Operasi), Ahmad Fakharuddin Ahmad.

Mengulas lanjut, Salim berkata, keutamaan suntikan vaksin COVID-19, melalui fasa pertama diberikan kepada guru Tingkatan Lima dan Enam bertujuan sebagai persediaan awal sebelum pembukaan sekolah untuk semua calon peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mengenai calon peperiksaan SPM dan STPM, Salim mengesahkan, nama pelajar sudah didaftarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Sehingga Rabu lalu, seramai 20,000 calon peperiksaan SPM serta STPM sudah didaftarkan dan akan dipanggil untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Berdasarkan maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM), semua calon peperiksaan SPM dan STPM akan menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dan pengajaran secara bersemuka bermula,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *